AGENDA

Kenderaan rasmi: Kerajaan kekal guna Proton Perdana, bukan Vellfire

10 Jan 2020, 4:04 AM
Kenderaan rasmi: Kerajaan kekal guna Proton Perdana, bukan Vellfire

PUTRAJAYA, 10 JAN: Proton Perdana kekal sebagai kenderaan rasmi menteri dan timbalan menteri, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, ketika kontrak pembekalan kenderaan diumumkan, pihaknya dimaklumkan pembekal bahawa kereta Proton Perdana tidak mencukupi, maka pilihan diberikan dan disyorkan ialah Toyota Vellfire.

"Kita dapat pengesahan kereta Perdana mencukupi. Itu sebab kita akan kekalkan kereta Perdana untuk menteri dan timbalan menteri," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Lim berkata pemberian kontrak baharu kenderaan akan dimuktamadkan selepas diputuskan dalam Jawatankuasa Tender di bawah Kementerian Kewangan.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Janji niaga itu dilapor melibatkan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Pelantikan syarikat baharu itu berikutan kontrak Spanco Sdn Bhd (Spanco) sebagai pengendali rangkaian kenderaan kerajaan tamat 2019.

Ditanya adakah kontrak yang sama melibatkan Spanco, Lim berkata: "Bukan, saya akan umumkan kemudian."

Lim berkata kontrak baharu itu perlu dimuktamadkan secara terperinci oleh Jawatankuasa Tender, dan beliau tidak terlibat.

Mengenai pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Lim berkata pihaknya akan mengambil cadangan daripada Kementerian Pengangkutan (MoT).

"(Kami) ambil maklum dengan cadangan daripada MoT...kami sedang menunggu senarai mereka," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang berkata pelantikan itu bukan di bawah bidang kuasa MoT.

Semalam, Loke dilaporkan berkata Prasarana adalah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, manakala MAHB pula sebahagiannya dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd dan tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.

Laporan sebelum ini menyebut Presiden dan CEO Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain yang dilantik menyandang jawatan itu pada 3 September 2018 telah digantung tugas oleh Lembaga Pengarah syarikat itu.

MAHB pada Isnin pula memaklumkan Bursa Malaysia bahawa CEO Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin telah melepaskan jawatan itu bagi meninjau peluang lain. Berikutan itu, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh yang merupakan Ketua Pegawai Operasi MAHB memangku tugas CEO.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619