AGENDA

Polis dapat perintah mahkamah halang himpunan Dong Zong

27 Dis 2019, 1:36 PM
Polis dapat perintah mahkamah halang himpunan Dong Zong

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Polis mendapat perintah mahkamah bagi melarang penganjuran persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular, yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.

Susulan itu, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan bersama memaklumkan persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah, petang tadi.

Dong Jiao Zong turut meminta supaya peserta membatalkan kehadiran mereka pada acara itu yang dijadual berlangsung di sebuah kolej universiti.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan berasingan berkata polis sudah menyerahkan perintah mahkamah itu pada kira-kira 5 petang tadi.

Beliau berkata perintah mahkamah itu dipohon atas dasar untuk mengelak berlaku gangguan kepada ketenteraman awam yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai.

Katanya polis menerima banyak laporan di seluruh negara berhubung persidangan berkenaan.

“Pihak polis menyeru semua pihak terlibat dan orang ramai supaya tidak hadir ke persidangan itu ataupun mana-mana perhimpunan lain bagi membantah perhimpunan berkenaan yang dianjurkan oleh pihak NGO (badan bukan kerajaan), persatuan dan pertubuhan,” katanya.

Katanya tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang enggan mematuhi undang-undang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619