ADN

Desa Coalfields perlukan sekolah tampung pertambahan murid

27 Dis 2019, 9:05 AM
Desa Coalfields perlukan sekolah tampung pertambahan murid

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Kerajaan Persekutuan diharap meluluskan segera pembinaan sekolah di kawasan Desa Coalfields, bagi menampung bilangan murid yang semakin ramai.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata perkara berkenaan sudah dibawa kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk pertimbangan.

Katanya lokasi pembinaan sekolah juga sudah dikenal pasti iaitu di Sinar Alam, Puncak Alam yang dijangka mampu memuatkan kapasiti 1,500 pelajar.

"Kita amat memerlukan sekolah di kawasan ini memandangkan sekolah sedia ada iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman tidak dapat menampung murid yang terlalu ramai.

"Sebuah kelas hanya boleh menampung maksimum 35 murid sahaja tetapi kini jumlah berkenaan meningkat kepada 40 murid, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Tanggungjawab Sosial Sekolah Angkat Kuala Lumpur Kepong (KLK) Land di SK Desa Aman di sini hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Desa Aman, Shahidan Said; Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran KLK Land Sdn Bhd, Eric Tan Aik Yee; Pengerusi Persatuan Guru dan Ibu Bapa SK Desa Aman, Mohd Razmi Khalid dan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor Zon 6C, Mariana Abdullah.

Sementara itu Shahidan berkata sekolahnya menerima pertambahan murid saban tahun berikutan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya hal itu menyebabkan sekolah terbabit terpaksa membuat dua sesi pembelajaran iaitu pada waktu pagi dan petang.

"Pada masa sama, pertambahan murid turut menyebabkan kemudahan sekolah semakin berkurangan dan perlu ditambah baik mengikut peredaran masa," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619