AGENDA

Keluarga mangsa kemalangan di New Zealand diberi bantuan

8 Dis 2019, 11:26 PM
Keluarga mangsa kemalangan di New Zealand diberi bantuan

KOTA KINABALU, 9 DIS: Bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada ahli keluarga empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di New Zealand, pada Jumaat lepas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Uda Sulai.

Uda, yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata, ia termasuk urusan jenazah empat beranak itu yang dijangka dikebumikan di Christchurch esok.

Beliau berkata perkara itu juga akan dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah jika peruntukan khas diperlukan bagi membantu ahli keluarga tersebut.

"Saya cuba usahakan seberapa yang boleh daripada peruntukan ADUN, khasnya daripada eKasih yang dapat kita salurkan," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga mangsa di Kampung Ulu Putatan di sini, hari ini.

Kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas itu mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, serta anak kedua mereka, Maisarah Arifah, 13, manakala dua lagi cedera parah.

Bagaimanapun, seorang daripada anak mangsa yang parah, Nur Irfan, 15, yang juga anak sulung pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) semalam.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619