AGENDA

Lebih 1 juta saman dikeluar JPJ tahun ini

21 Nov 2019, 12:55 AM
Lebih 1 juta saman dikeluar JPJ tahun ini

KUALA LUMPUR, 21 NOV:Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 1,028,387 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya di seluruh negara bagi tempoh awal Januari sehingga Oktober lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut nilai saman, Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Zamakhshari Hanipah berkata, saman dikeluarkan itu melibatkan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, melebihi had muatan, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar.

“Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Selain itu, sebanyak 275,554 saman (jumlah ini tidak termasuk saman di atas) bagi kesalahan tidak mempunyai lesen memandu telah dikeluarkan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur yang dijalankan di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata, dalam operasi bersepadu itu, JPJ memeriksa lebih 2,500 kenderaan.

“Ekoran itu, sebanyak 812 saman dikeluarkan antaranya melibatkan cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan memasang cermin gelap melebihi had yang ditetapkan.

“Selain itu, dalam operasi ini, 11 lelaki ditahan kerana dipercayai positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, Jabatan Imigresen turut membuat pemeriksaan ke atas 19 warga asing dan menahan lima daripada mereka yang terdiri daripada seorang warga Bangladesh, Indonesia (2), India (1) dan seorang dari Sri Lanka kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Operasi bermula 8 malam itu melibatkan pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Imigresen serta Agensi Antidadah Kebangsaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619