AGENDA

1.27 juta individu dijangka lalui saringan PeKa B40

26 Okt 2019, 7:37 AM
1.27 juta individu dijangka lalui saringan PeKa B40

PONTIAN, 26 OKT: Lebih 1.27 juta individu dijangka menjalani ujian saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) di klinik swasta dan klinik kesihatan di seluruh negara pada tahun hadapan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengumuman penurunan had umur penerima skim berkenaan daripada 50 tahun ke atas kepada 40 tahun ke atas adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah melakukan saringan pemeriksaan kesihatan agar tindakan pengesanan dan rawatan dapat dilakukan.

“Mengikut data terkini, kita telah menyaring 130,000 individu yang berusia 50 tahun untuk jalani pemeriksaan darah tinggi, kencing manis, kolesterol, buah pinggang, dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampungku Peringkat Daerah Pontian Sihat di Mukim Penghulu Serkat di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan membuat perancangan terperinci mengenai pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk Hospital Pontian serta klinik di seluruh negara, selepas menerima peruntukan RM30.6 bilion dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata melalui peruntukan itu, hanya sebuah hospital baharu akan dibina iaitu di Kampar, Perak.

"Hanya satu hospital baharu sahaja yang akan dibina manakala selebihnya penambahbaikan dan menaik taraf dan hendak tekankan saya lebih pentingkan menaik taraf klinik kita dan cukupkan fasiliti-fasiliti, kemudahan dan keupayaan klinik kita," kata beliau.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika mengulas mengenai peruntukan diterima KKM dalam Belanjawan 2020.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619