AGENDA

Utusan Pakistan: Pendirian Tun M berhubung isu Kashmir wajar dihormati

14 Okt 2019, 1:21 PM
Utusan Pakistan: Pendirian Tun M berhubung isu Kashmir wajar dihormati

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Ucapan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 yang menyeru pertikaian di Kashmir antara India dan Pakistan diselesaikan melalui rundingan, wajar di hormati, kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Atif Sharif Mian.

"Sebagai antara pemimpin dunia yang hebat, beliau memberikan satu kenyataan penting bahawa dunia tidak mampu lagi untuk mendepani konflik antara dua negara kuasa nuklear ... ia boleh mencetuskan bencana kepada dunia," katanya kepada Bernama selepas forum bertajuk ‘Palestine – Kashmir Forum: The Struggle for Freedom and Self Determination’, anjuran bersama Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini, Isnin.

Sejak sekian lama akses terhadap makanan, ubat-ubatan dan internet oleh penduduk Kashmir adalah terhad, terdapat ribuan kakitangan tentera sentiasa menjalankan rondaan, dan lebih 10,000 cedera dan 800 lagi menjadi buta akibat terkena peluru senapang angin.

Justeru, Mian menghargai pendirian tegas Dr Mahathir berhubung isu Kashmir.

Kerajaan India mengenakan perintah berkurung dan menahan hampir 4,000 orang termasuk pemimpin politik, peguam dan wartawan.

Dalam pernyataan bersama pada akhir forum, penganjur menuntut komuniti antarabangsa bersatu menentang ketidakadilan terhadap penduduk Kashmir dan Palestin.

Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid berkata, pernyataan bersama itu akan diserahkan kepada Dr Mahathir di Putrajaya esok.

"Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran tentang Palestin dan Kashmir, menjadikan satu dokumen yang boleh dirujuk semua pihak supaya boleh dijadikan asas untuk melakukan banyak kempen kesedaran sama ada melalui forum, seminar dan khutbah di masjid-masjid agar dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang apa yang berlaku,” katanya.

Forum itu turut disertai wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Kemboja, Thailand dan Indonesia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619