AGENDA

Piala Dunia: Lima negara ASEAN bincang kriteria bidaan

12 Okt 2019, 12:15 PM
Piala Dunia: Lima negara ASEAN bincang kriteria bidaan
Piala Dunia: Lima negara ASEAN bincang kriteria bidaan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Hasrat ASEAN menjadi tuan rumah bersama bagi Piala Dunia 2034 mungkin dapat direalisasikan.

Ini berikutan satu mesyuarat membabitkan lima negara ASEAN termasuk Malaysia akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan keperluan dan komitmen yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila, Filipina pada Rabu berkata:

“Oleh kerana syarat yang ada dalam pembidaan FIFA yang memerlukan beberapa perkara diteliti, jadi pada mesyuarat itu kita telah bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dengan lebih mendalam khususnya berkaitan dengan dokumen pembidaan.

“Kita juga akan memanggil persatuan bola sepak negara ASEAN bersama kumpulan ini bagi membincangkan tentang bagaimana kita boleh meneruskan usaha untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara (HSN) yang merupakan kemuncak sambutan Bulan Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, mesyuarat yang masih belum dimuktamadkan tarikh itu bukan bertujuan membincangkan mengenai bidaan tetapi lebih kepada membincangkan kekuatan dan potensi yang ada pada negara ASEAN yang boleh ditawarkan untuk meyakinkan pihak FIFA.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha memaklumkan bahawa kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Bangkok, Thailand.

Lima negara ASEAN itu ialah Malaysia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

— BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619