AGENDA

Malaysia catat 98 kes kemalangan di tempat kerja sehari

8 Okt 2019, 7:20 AM
Malaysia catat 98 kes kemalangan di tempat kerja sehari

SHAH ALAM, 8 OKT: Sejumlah 35,460 kes kemalangan di tempat kerja berlaku setahun di Malaysia dengan purata 98 kes sehari pada tahun lalu, lapor Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Pengarah JKKP Selangor, Ir Ibrahim Md Dol berkata, daripada jumlah itu kes kemalangan maut pula direkodkan 611 kes setahun dengan purata dua kes sehari.

"Jika purata kemalangan maut dua orang sehari pada tahun lalu jadi ukuran, maka kita harus segera melakukan sesuatu pada tahun ini dan akan datang supaya kes dapat dikurangkan kepada angka sifar.

"Syarikat perlu memahami konsep pengurusan risiko seperti Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) dan ia sangat berguna dipratikkan di tempat kerja.

"Inisiatif bagi mengurangkan kemalangan ini adalah selari dengan prinsip peraturan kendiri yang menjadi teras Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Sokongan Pematuhan OSH dan Penyelaras OSH IKS peringkat Selangor 2019 di Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Ir Ibrahim turut menyeru semua pihak sama ada pekerja dan majikan untuk bersama menjalankan program dan aktiviti yang menyumbang ke arah pengurangan kemalangan di tempat kerja.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat kepada pekerja dan tidak mendedahkan orang lain selain kakitangannya terhadap risiko.

"Majikan yang mengambil tindakan awal dengan melakukan langkah pencegahan akan lebih mudah untuk mengurus dan melaksanakan segala keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja," katanya.

Statistik kemalangan pekerjaan di Selangor sebelum ini dilaporkan 1,284 kes direkodkan sehingga September tahun ini membabitkan 25 kes kemalangan maut, 47 kes hilang upaya kekal, 1,172 kes tidak hilang upaya kekal dan 40 kes kejadian berbahaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619