AGENDA

Op SAR warga Singapura hilang berkayak diperluas

17 Ogos 2019, 7:22 AM
Op SAR warga Singapura hilang berkayak diperluas

KUALA TERENGGANU, 17 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing yang masuk hari ke-9 hari ini diteruskan dengan sektor pencarian sejauh 300 batu nautika persegi dari perairan Kemaman hingga ke Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, 60 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut sama terlibat dalam usaha pencarian yang bermula pukul 8.00 pagi ini.

"Operasi SAR yang dikoordinasikan oleh APMM hari ini turut melibatkan aset laut sebanyak empat bot milik pelbagai agensi keselamatan.

"Waris mangsa serta wakil konsulat Singapura telah berada di jeti Zon Maritim Kemaman untuk mengetahui perkembangan terkini sepanjang usaha pencarian dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

APMM juga menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar segera menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.

Tan, 62, dan seorang lagi rakan senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 8 Ogos selepas kayak yang dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di Mersing, Johor berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Bagaimanapun, pada Rabu, mayat Puah ditemui di perairan Kuala Kemaman dan susulan penemuan itu , Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) telah diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman, sejak Khamis lepas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619