AGENDA

Nilai ambil alih empat konsesi lebuh raya bertol belum muktamad

1 Ogos 2019, 6:45 AM
Nilai ambil alih empat konsesi lebuh raya bertol belum muktamad

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Sejumlah RM6.2 bilion yang ditawarkan kerajaan bagi mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di Lembah Klang bukan nilai muktamad, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan proses sewajarnya sebelum memuktamadkan nilai sebenar.

"Jika proses wajar itu mendapati nilai berkenaan terlalu rendah atau terlalu tinggi, sesuatu perlu dilakukan. Nilai terbabit bukan muktamad," katanya kepada media selepas perasmian Islamic Finance Innofest 2019, anjuran Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Amiruddin turut melancarkan laporan bertajuk “Harnessing Value- based Intermediation: The Role of Development Financial Institutions”.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan Pakatan Harapan adalah memastikan hasrat dalam manifesto untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan tol terlaksana.

“Pada asasnya, kita harap ia akan memberikan kesan positif kepada pengguna jalan raya dan tidak menambah beban kewangan kepada kerajaan,” katanya.

Pada Jun tahun ini, Kementerian Kewangan mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Tawaran pengambilalihan itu dibuat kepada Gamuda Bhd, selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Semalam dilaporkan bahawa pengambilalihan yang dicadangkan oleh kerajaan ditunda bagi semakan harga.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619