AGENDA

Pelajar latihan industri atas kapal ditemui lemas

30 Jul 2019, 11:32 AM
Pelajar latihan industri atas kapal ditemui lemas

ALOR GAJAH, 30 JUL : Pelajar lelaki yang hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika mengikuti latihan industri di atas kapal tunda ditemui lemas di perairan Kuala Linggi di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata mayat pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin, Institut Latihan Vokasional Ranaco, Terengganu, Muhammad Afizuddin Aidzuhan, 20, ditemui kira-kira 3.9 batu nautika di barat laut dari kedudukan kapal mangsa bertugas kira-kira 12.45 tengah hari.

"Mayat mangsa dalam keadaan terapung itu ditemui komuniti nelayan Kuala Linggi sebelum diserahkan kepada anggota Maritim yang menaiki Bot Petir 91 untuk dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuala Linggi bagi pengecaman oleh keluarga mangsa.

"Selepas itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, media melaporkan kehilangan Muhammad Afizuddin disedari anak kapal lain kira-kira 1 tengah hari yang kemudian melaporkannya kepada pihak Maritim sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 5 petang.

Mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu telah enam bulan menjalani latihan industri di sebuah syarikat operator pelabuhan di Kuala Linggi di sini.

Azman berkata kawasan pencarian bagi operasi yang memasuki hari kedua diperluaskan merangkumi 70 batu nautika persegi di perairan Kuala Linggi menggunakan aset pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, katanya sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan ke bilik gerakan Maritim Melaka dan Negeri Sembilan yang beroperasi 24 jam di talian 06-3876730 atau menerusi talian MERS 999. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619