BERITA UTAMA

KPN lahir kewaspadaan penyalahgunaan dadah

29 Jul 2019, 1:53 PM
KPN lahir kewaspadaan penyalahgunaan dadah

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador melahirkan kewaspadaan mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini sambil berkata jumlah kes telah meningkat dua kali ganda hinggakan ada anggota polis didapati mengambil dadah.

Beliau berkata, jika langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membendung gejala dadah, Malaysia boleh menjadi seperti Colombia.

"Bukan sahaja kalangan orang biasa terlibat tetapi anggota saya sendiri, setiap minggu kita menahan anggota kita sendiri ... yang menggunakan “meth” dan syabu.

"Sejak Januari, tidak kurang daripada 30 anggota polis ditahan kerana mengambil dadah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan “Roadshow Autism: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia” di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, selama bertahun-tahun, penyalahgunaan dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara tetapi malangnya bilangan penagih dadah meningkat dua kali ganda.

Abdul Hamid berkata, beliau bimbang kerana usaha memerangi dadah akan terjejas jika anggota polis sendiri juga melakukan kesalahan itu.

“Jadi terimalah hakikat bahawa penyalahgunaan dadah di negara ini berada pada tahap kritikal.

“Jika kita tidak membendungnya secara serius mulai sekarang, saya fikir ia akan sampai ke tahap seperti kita dapati di Colombia. Begitu buruk sekali keadaannya,” kata beliau.

Colombia telah bergelut dengan masalah dadah dan menurut laporan media, polis negara itu tahun ini telah melancarkan salah satu kempen berskala besar untuk memerangi dadah dalam masa beberapa tahun kebelakangan ketika cuba untuk mengekang pengedaran kokain.

Abdul Hamid juga menarik perhatian bahawa polis telah merampas sejumlah besar dadah dalam serbuan di pusat-pusat perjudian dan makmal dadah haram.

“Polis menemukan beratus-ratus kilogram dadah… (tetapi) saya percaya ada banyak lagi. Kita bertekad keras untuk membendungnya. Kita perlu menyekat bekalan dadah ke pasaran. Kita tidak boleh terus mengadakan operasi demi operasi; anggota saya juga letih” kata beliau.

Abdul Hamid berkata, pendekatan yang lebih holistik daripada kerajaan diperlukan untuk mengekang penyalahgunaan dadah kerana serbuan polis sahaja tidak akan menyelesaikan masalah itu.

"Ketika kita menggempur makmal dadah, kita cuba mengenal pasti dan menjejaki sindiket dadah. Kita berbincang dengan kerajaan dan memberi idea bagaimana untuk menutup atau menyekat akses penyeludup dadah atau pengeluar dadah ke pasaran, " katanya. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619