AGENDA

KPN: Tiada unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Selangor

29 Jul 2019, 5:41 AM
KPN: Tiada unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Selangor

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis hari ini mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung kes pencemaran diesel di Sungai Selangor, sebaliknya ia adalah akibat kecuaian.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mendapati pencemaran itu ekoran kecuaian pekerja syarikat yang dilantik Kerajaan Negeri untuk membersihkan sungai berkenaan.

"Kami juga akan menyiasat laporan palsu yang dibuat sebelum ini untuk melindungi kepentingan syarikat tertentu.

"Siasatan masih giat dijalankan dan hasil siasatan penuh akan selesai dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Autisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Khamis lalu, polis menahan pengusaha pontun dan pekerjanya berusia awal 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan punca pencemaran diesel di sungai berkenaan.

Abdul Hamid berkata, seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala tempoh tahanan reman seorang lagi yang tamat hari ini, akan dilanjutkan.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia mengambil serius kes pencemaran di Sungai Selangor kerana mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan.

Susulan insiden pencemaran itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya elemen sabotaj.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619