AGENDA

Beruang matahari ditangkap dihantar ke Taman Negara

23 Jul 2019, 9:57 AM
Beruang matahari ditangkap dihantar ke Taman Negara

KUALA TERENGGANU, 23 JUL: Seekor beruang matahari atau beruang anjing yang ditangkap di Felda Belara malam tadi akan dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abd Malek Mohd Yusof berkata, operasi pemindahan keluar beruang berkenaan selesai kira-kira 3.30 petang tadi dan terus dibawa ke Taman Negara selepas disahkan sihat oleh pegawai Jabatan Veterinar.

Beliau berkata, proses pemindahan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda Hilux itu mengambil masa agak lama dan mengalami sedikit kesukaran berikutan kawasan muka bumi yang curam.

"Perhilitan telah memasang perangkap dua minggu lalu selepas menerima aduan daripada penduduk tetapi baru hari ini mengena.

"Itupun selepas kami alihkan perangkap itu kira-kira 100 meter dari lokasi asal ia dipasang dan menggunakan umpan sarang kelulut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Abd Malek berkata, pihaknya akan memasang dua lagi perangkap dalam masa terdekat di kawasan berhampiran bagi menangkap dua ekor lagi beruang matahari yang masih berkeliaran.

Oleh itu, beliau menasihatkan penduduk Felda Belara supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila masuk ke kebun atau menghampiri kawasan belukar kerana haiwan itu akan bertindak agresif sekiranya berasa terancam.

"Kami terima aduan ada tiga ekor beruang yang berkeliaran di kawasan kebun dan belakang rumah penduduk dan ia disertakan sekali dengan video daripada seorang penduduk.

"Kami tidak menolak kemungkinan beruang itu keluar ke kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan dan perlindungan kerana habitatnya terganggu," katanya. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619