Sistem kerja fleksibel lebih realistik, kekalkan keseimbangan emosi dan psikologi

29 Mac 2026, 1:02 AM
Sistem kerja fleksibel lebih realistik, kekalkan keseimbangan emosi dan psikologi

SHAH ALAM, 29 MAC: Sistem kerja fleksibel atau hibrid perlu diperluas sebagai pendekatan jangka panjang berbanding pelaksanaan berkerja dari rumah (BDR) sepenuhnya bagi memastikan kesejahteraan mental pekerja.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata manusia secara fitrahnya memerlukan interaksi sosial dan hubungan dengan individu lain bagi mengekalkan keseimbagan emosi dan psikologi.

“Jika terlalu lama bekerja secara bersendirian, individu berisiko berasa terasing. Sebab itu pendekatan paling sihat bukanlah sepenuhnya di rumah atau di pejabat, tetapi fleksibel mengikut keperluan kerja,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, Shazli Ezzat berkata antara cabaran utama BDR ialah ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi apabila sempadan antara kedua-duanya menjadi kabur.

“Ada individu bekerja tanpa henti kerana akses kepada kerja sentiasa ada. Mereka menjawab mesej ketika makan, menyemak e-mel sebelum tidur dan terus memikirkan kerja walaupun bersama keluarga.

“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan keletihan emosi dan seterusnya membawa kepada ‘burnout’,” katanya lagi.

Tambah beliau, dari sudut produktiviti pula, beliau menjelaskan ia bergantung kepada individu dan keadaan emosi masing-masing, bukan semata-mata lokasi kerja.

“Ada yang lebih produktif di rumah kerana suasana tenang, namun ada juga yang memerlukan persekitaran pejabat untuk kekal bermotivasi.

“Dalam situasi krisis, produktiviti lebih dipengaruhi oleh keadaan emosi. Jika seseorang itu tertekan atau keletihan mental, prestasi tetap akan terjejas walau di mana mereka bekerja,” tambahnya.

Beliau turut menekankan peranan majikan dalam memastikan kesejahteraan mental pekerja sentiasa terpelihara.

“Majikan perlu melihat pekerja sebagai individu yang mempunyai emosi dan cabaran tersendiri. Antara langkah penting termasuk menetapkan waktu kerja yang jelas, mengurangkan budaya ‘semua perkara segera’, serta mewujudkan komunikasi yang empati.

“Tindakan kecil seperti bertanya khabar pekerja juga mampu memberi impak besar dalam menyokong kesejahteraan mental.

“BDR boleh membantu, tetapi bukan penyelesaian mutlak. Apa yang paling penting ialah keseimbangan antara kerja dan kehidupan, produktiviti dan kesejahteraan,” katanya.

Saranan pakar itu seiring dengan tinjauan Universiti Monash Malaysia dengan mendapati ramai masih memilih pengaturan kerja yang lebih fleksibel.

Menerusi laporan MalaysiaKini, hanya 27.1 peratus memilih untuk bekerja sepenuhnya di lokasi manakala 9.3 peratus memilih untuk bekerja sepenuhnya dari rumah.

Pilihan hibrid paling diminati (30.9 peratus) ialah bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah setiap minggu; diikuti empat hari di pejabat dan satu hari dari rumah (19.1 peratus).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619