SHAH ALAM, 27 MAC: Pengalaman pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dijadikan panduan oleh Kerajaan Negeri dalam merangka pendekatan BDR yang lebih tersusun dan berkesan.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata, Kerajaan Selangor akan meneliti kesesuaian BDR mengikut kategori serta peringkat penjawat awam selaras langkah menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pelaksanaan secara berperingkat.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam kekal lancar tanpa menjejaskan operasi.
"Pengalaman sepanjang tempoh PKP sebelum ini menjadi panduan dalam merangka pelaksanaan BDR yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan situasi semasa.
"Dalam masa sama, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap keputusan dibuat secara seimbang dengan mengambil kira kebajikan penjawat awam serta keperluan operasi perkhidmatan kerajaan," katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan sedang mempertimbangkan pelaksanaan waktu kerja lebih anjal termasuk BDR secara berperingkat dalam sektor awam sebagai langkah menyesuaikan operasi dengan keadaan semasa.
Anwar berkata pendekatan itu akan dilaksanakan secara terpilih di jabatan kerajaan, selain menggesa sektor swasta turut melaksanakan langkah sama seperti yang diamalkan beberapa syarikat korporat dan institusi kewangan.
Menurut beliau, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan kecekapan operasi terus terpelihara, selain mengekalkan disiplin serta mengelakkan pembaziran dalam perkhidmatan awam.
Perkembangan semasa melibatkan ketegangan di Asia Barat termasuk konflik Iran serta situasi di Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan ekonomi, sekali gus menjadi antara faktor yang diambil kira dalam penilaian pelaksanaan BDR termasuk di Selangor.









