Sekolah boleh ditutup sementara jika cuaca lebih 37 darjah Celsius

27 Mac 2026, 9:11 AM
Sekolah boleh ditutup sementara jika cuaca lebih 37 darjah Celsius
Sekolah boleh ditutup sementara jika cuaca lebih 37 darjah Celsius
Sekolah boleh ditutup sementara jika cuaca lebih 37 darjah Celsius
Sekolah boleh ditutup sementara jika cuaca lebih 37 darjah Celsius
Sekolah boleh ditutup sementara jika cuaca lebih 37 darjah Celsius

IPOH, 27 MAC: Pihak pentadbir dibenarkan menutup operasi sekolah sekiranya cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata perkara berkenaan antara garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2023 dan boleh diguna pakai sekiranya keadaan cuaca panas dan kering semakin meruncing.

"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah mempunyai pengalaman yang mencukupi bagi menangani isu yang kita hadapi sekarang (cuaca panas dan kering).

"Sememangnya kita tahu bahawa hal ini juga menjadi satu cabaran bagi KPM untuk memastikan keselesaan dan juga kesihatan anak-anak," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh. Foto BERNAMA

Wong berkata selain itu, semua aktiviti luar di sekolah juga perlu dihentikan buat sementara waktu sekiranya suhu melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan ialah merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian.

"Pihak KPM telah memberikan pesanan kepada kesemua pentadbir termasuklah pengetua, guru besar serta Pejabat Pendidikan Daerah supaya sentiasa memantau status suhu harian bagi cuaca panas setiap hari di sekolah dan juga daerah masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wong berkata SJKT Gopeng bakal berwajah baharu menerusi pembangunan semula bangunan sekolah daif membabitkan peruntukan berjumlah RM14.5 juta, yang dijangka bermula penghujung tahun ini dan mengambil masa selama 22 bulan untuk disiapkan.

Projek berkenaan, katanya melibatkan perobohan blok bangunan daif sedia ada dan pembinaan blok gantian tiga tingkat merangkumi enam bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru dan stor sukan.

"Sekolah ini telah berusia 80 tahun dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didapati blok utama yang menempatkan bilik darjah dan blok pentadbiran sekolah telah terjejas akibat ancaman anai-anai,” katanya sambil berharap projek berkenaan dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir 2028.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619