Cuaca panas: Taska henti aktiviti luar, utamakan keselamatan kanak-kanak

27 Mac 2026, 9:00 AM
Cuaca panas: Taska henti aktiviti luar, utamakan keselamatan kanak-kanak
Cuaca panas: Taska henti aktiviti luar, utamakan keselamatan kanak-kanak
Cuaca panas: Taska henti aktiviti luar, utamakan keselamatan kanak-kanak
Cuaca panas: Taska henti aktiviti luar, utamakan keselamatan kanak-kanak
Cuaca panas: Taska henti aktiviti luar, utamakan keselamatan kanak-kanak

SHAH ALAM, 27 MAC: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini memaksa pengusaha taska mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghentikan aktiviti luar bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

Rata-rata pengusaha memilih untuk mengehadkan pergerakan kanak-kanak di luar premis, terutama ketika suhu meningkat dan boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Pengusaha taska dan tadika di Taman Putra Perdana, Puchong, Munira Shaari berkata pihaknya kini hanya membenarkan aktiviti dijalankan di dalam premis.

Menurutnya, langkah tersebut diambil sebagai langkah pencegahan memandangkan jumlah kanak-kanak di bawah jagaan agak ramai.

“Saya mempunyai 60 orang kanak-kanak di taska dan tadika. Kebiasannya kita memang bawa kanak-kanak di taman tetapi kini perlu hentikan atau kurangkan aktiviti luar dahulu,” katanya kepada Media Selangor.

Munira berkata walaupun aktiviti luar dihentikan, kanak-kanak masih boleh bermain di ruang dalaman yang disediakan dengan pemantauan rapi.

“Mereka semua boleh bermain di bahagian dalam yang disediakan. Pada masa sama, kita akan pantau dan pastikan mereka minum air kosong yang mencukupi ketika cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha taska, Azizah Aziz berkata beliau turut mengambil pendekatan sama walaupun operasi taskanya akan bermula semula selepas cuti Aidilfitri.

Menurut Azizah, faktor cuaca panas melampau menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian sebelum memulakan operasi.

“Walaupun operasi taska mula minggu depan, tetapi saya juga memantau keadaan terkini khususnya cuaca panas melampau yang boleh beri kesan pada kesihatan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti luar akan dielakkan sekiranya cuaca tidak mengizinkan, selain memastikan pengambilan air mencukupi dalam kalangan kanak-kanak.

“Namun, sekiranya cuaca panas memang kita elak jalankan aktiviti di luar dan demi keselesaan serta kesihatan perlu dipastikan air kosong mencukupi untuk elak dijangkiti pelbagai penyakit,” katanya.

Sebelum ini, Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan keadaan cuaca panas di beberapa kawasan berpunca daripada fasa perolakan yang terhalang akibat fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO).

Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang turut menjelaskan bahawa fenomena El Nino yang diramal berlaku pertengahan tahun ini tidak mempunyai kaitan dengan keadaan cuaca panas semasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619