SHAH ALAM, 25 MAC: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Seksyen 19 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisiober Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 6.44 petang.
Menurutnya, mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bawah bangunan sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Zon Merah hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulhusni Hasani di talian 011-39360779 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di 03-55202222.








