SHAH ALAM, 25 MAC: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah disyaki syabu dalam satu operasi di Batang Kali, Hulu Selangor, awal pagi semalam.
Tangkapan kira-kira 12.10 tengah malam itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor hasil pemeriksaan ke atas suspek.
Rampasan melibatkan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah bagi membantu usaha penguatkuasaan.
“Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Pusat Kawalan Daerah, balai polis berhampiran atau menerusi Facebook Polis IPD Hulu Selangor.
“Setiap maklumat yang diterima akan diambil tindakan segera tanpa kompromi,” katanya.
Beliau menambah kerjasama masyarakat penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kawasan terus terpelihara.








