Empangan Selangor cecah 99 peratus, bekalan air kekal stabil hadapi musim panas

25 Mac 2026, 3:01 AM
Empangan Selangor cecah 99 peratus, bekalan air kekal stabil hadapi musim panas

SHAH ALAM, 25 MAC: Lapan empangan dan kolam tadahan utama di Selangor kekal pada paras selamat dengan kapasiti antara 79 hingga 99 peratus setakat ini.

Data Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Air Bersepadu (IWRIMS) oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menunjukkan hanya dua empangan merekodkan paras di bawah 80 peratus.

Empangan Sungai Selangor mencatatkan 78.77 peratus, diikuti Empangan Sungai Tinggi pada 79.75 peratus.

Sementara itu, enam lagi empangan berada pada tahap baik, dengan Kolam Tadahan Sungai Labu di Sepang merekodkan paras tertinggi iaitu 99.24 peratus.

-EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas majlis penyerahan kenderaan dan jentera baharu Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor serta surat setuju terima (SST) kontrak jangka panjang penyelenggaraan jalan-jalan tahun 2026-2030 di Stadium Mini JKR Selangor, Shah Alam pada 9 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Februari lalu, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata Selangor sedia menghadapi musim panas dan kering dengan semua empangan negeri mempunyai keupayaan takungan yang mencukupi untuk bertahan sehingga enam bulan.

Beliau berkaya, kesiapsiagaan itu melibatkan LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan kelangsungan bekalan air mentah ke loji rawatan air (LRA) sepanjang tempoh musim kering.

Menurut Izham, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah awal bagi memastikan empangan berada pada tahap optimum sebelum bermulanya Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka bermula Mei ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan fenomena musim panas dan kering akibat MBD akan bermula pada Mei dan berlarutan sehingga September 2026.

Keadaan tersebut sudah mula dirasai di beberapa lokasi di seluruh negara dengan daerah Pendang, Pokok Sena dan Baling di Kedah dilanda gelombang haba tahap dua dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius

Sebanyak 16 kawasan lain di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga), termasuk seluruh Perlis, serta beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619