SHAH ALAM, 20 MAC: Orang ramai yang menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri disaran mengikuti panduan dikeluarkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengelak gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan.
Agensi itu menegaskan pengurusan sisa buangan sama ada cecair atau pepejal perlu dilakukan dengan betul bagi memastikan sumber air terpelihara.
“Mereka perlu memastikan sisa makanan dan sampah pepejal dikumpul dan dibuang ke tempat pelupusan rasmi untuk dilupuskan pihak berkuasa bagi mengekang pencemaran.
"Pembuangan sisa makanan dan sampah ke dalam sungai adalah dilarang sama sekali kerana boleh mencemari sungai dan menyebabkan gangguan air,” menurut hebahan agensi itu di Facebook.
Menerusi hebahan sama, LUAS turut mengingatkan minyak masak terpakai perlu dikumpulkan dan dibawa ke pusat kitar semula, bukan dibuang ke sinki atau longkang.
“Uruskan sisa buangan sama ada cecair atau pepejal dengan baik agar masalah gangguan air dapat dielakkan,” tegas LUAS.
Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir. Izham Hashim memaklumkan LUAS telah mengerahkan Skuad Elit Air untuk melakukan pemantauan 24 jam di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.
Pemantauan merangkumi tiga lokasi strategik di hulu loji rawatan air utama, persampelan in-situ setiap jam, serta rondaan sembilan kali dalam 24 jam di 14 lokasi berisiko, bagi memastikan sebarang insiden pencemaran dapat dikawal dan operasi loji rawatan air tidak terganggu.








