Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes merusuh

24 Mac 2026, 2:09 PM
Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes merusuh

SHAH ALAM, 24 MAC: Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes merusuh di Jalan Waja, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya ketika menunggang motosikal.

Beliau berkata berdasarkan laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun semalam, pengadu mendakwa terdengar bunyi bising di hadapan rumah sebelum keluar dan mendapati bapa saudaranya yang berusia 45 tahun sedang memegang sebilah parang serta dikepung beberapa individu tidak dikenali yang dipercayai cuba menyerangnya.

“Pengadu kemudian bertindak menghubungi pihak polis, namun kesemua suspek yang merupakan penganggur melarikan diri sebelum anggota tiba di tempat kejadian.

“Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan, tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat telah ditahan dan beberapa barangan kes turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sufian berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan usaha mengesan suspek lain yang masih bebas giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan kejadian sekumpulan lelaki dipercayai merusuh di Jalan Waja yang dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619