Aliran trafik lebuh raya utama menuju Lembah Klang bergerak perlahan

24 Mac 2026, 10:44 AM
Aliran trafik lebuh raya utama menuju Lembah Klang bergerak perlahan

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara menunjukkan trend meningkat dan bergerak perlahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan yang menuju ke arah Lembah Klang setakat 4 petang ini.

Penyelia Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Muhammad Aliff Syafiq Md Takiyudin berkata kesesakan dikesan melibatkan arah utara, selatan serta pantai timur.

“Di bahagian selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat serta dari Pedas Linggi ke Senawang dan terus ke Port Dickson.

“Bagi arah utara pula, pergerakan perlahan dikesan di sekitar Pulau Pinang, iaitu dari Permatang Pauh ke Perai, selain kawasan Menora serta Gopeng ke Tapah,” katanya ketika tinjauan di Pusat Pengurusan Trafik LLM di sini, hari ini.

Beliau berkata aliran trafik dari pantai timur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) juga bergerak perlahan dari Karak dan Bentong menghala ke Lentang serta Bukit Tinggi, termasuk sebelum memasuki Plaza Tol Gombak menuju ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Mengulas mengenai gangguan lalu lintas, Muhammad Aliff Syafiq berkata terdapat insiden kenderaan rosak yang menyumbang kepada kesesakan, antaranya di sektor utara selepas terowong (Menora) menghala pusat bandar yang menyebabkan kesesakan sepanjang tujuh kilometer (km).

“Selain itu, insiden lori rosak di sekitar Ayer Keroh turut menyebabkan aliran trafik perlahan sepanjang 12 km dari Jasin ke Simpang Ampat,” katanya.

Dalam pada itu, dua lokasi kebakaran belukar turut dilaporkan berhampiran lebuh raya, iaitu di KM 110 Lebuhraya Utara-Selatan dari Sungai Petani Selatan ke Bertam serta di KM 21.6 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dari Seri Kembangan ke Putrajaya.

“Kedua-dua insiden tersebut menyebabkan lorong kiri terhalang bagi memberikan ruang kepada pihak bomba menjalankan kerja pemadaman api,” katanya.

Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan merujuk jadual waktu perjalanan yang dikeluarkan pihak konsesi atau menghubungi talian bantuan menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 untuk maklumat trafik terkini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619