Operasi banteras jenayah siber di Kemboja, 3 rakyat Malaysia antara 49 ditahan

23 Mac 2026, 8:28 AM
Operasi banteras jenayah siber di Kemboja, 3 rakyat Malaysia antara 49 ditahan

SHAH ALAM, 23 MAC: Tiga rakyat Malaysia antara 49 individu ditahan dalam serbuan besar-besaran terhadap kegiatan disyaki penipuan dalam talian di Phnom Penh, Kemboja, ketika pihak berkuasa memperhebat usaha membanteras jenayah siber.

Operasi dijalankan pasukan petugas bersama di bawah Jawatankuasa Pemerintah Bersatu Phnom Penh di sebuah hotel di Khan Sen Sok hari ini, susulan arahan Gabenor Phnom Penh, Khuong Sreng.

Serbuan itu diketuai Komisioner Polis Phnom Penh, Choun Narin, dengan pengawasan undang-undang oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chhay Hong, menurut laporan Berita Harian.

Selain tiga rakyat Malaysia, 46 lagi individu yang ditahan membabitkan 43 warga China serta masing-masing seorang wanita dari Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut merampas 60 komputer semua dalam satu, 31 unit pemprosesan pusat (CPU), sebuah komputer riba, 687 telefon bimbit serta 46 kad SIM Malaysia, menurut laporan rasmi.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai menggunakan Kemboja sebagai pangkalan operasi bagi menjalankan skim penipuan, khususnya pelaburan palsu yang menyasarkan mangsa di Malaysia dan beberapa negara lain.

Pegawai turut memaklumkan suspek dipercayai memindahkan operasi mereka dari wilayah Thbong Khmum baru-baru ini.

Kesemua suspek bersama barangan rampasan diserahkan kepada Polis Phnom Penh untuk siasatan lanjut, termasuk mengesan dan memberkas dalang di sebalik rangkaian berkenaan.

Pihak berkuasa turut menggesa pemilik premis atau tuan tanah supaya lebih berwaspada ketika menyewakan hartanah kepada warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan haram atau jenayah siber.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, berikrar membanteras kegiatan penipuan dalam talian menjelang bulan depan, sambil menegaskan negara itu bukan ‘sarang perlindungan’ bagi jenayah siber.

Beliau menegaskan individu yang terbabit akan berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619