Op Selamat: IPD Sabak Bernam keluarkan lebih 80 saman

22 Mac 2026, 1:18 PM
Op Selamat: IPD Sabak Bernam keluarkan lebih 80 saman

SABAK BERNAM, 22 MAC: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam mengeluarkan lebih 80 saman dalam Op Selamat 26 dan Op Pematuhan menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Op Selamat 26 melibatkan 35 pegawai dan anggota, dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam susulan peningkatan pergerakan masyarakat sepanjang musim perayaan.

“Sepanjang operasi, 146 individu dan 120 kenderaan diperiksa, termasuk 81 kereta dan 39 motosikal, tanpa sebarang rampasan direkodkan.

“Daripada jumlah itu, 49 saman dikeluarkan, meliputi 45 saman di bawah PDRM (K) 257 dan empat saman PDRM (K) 170, sebagai langkah pencegahan serta pematuhan undang-undang jalan raya,” maklum IPD Sabak Bernam menerusi kenyataan.

Sementara itu, Op Pematuhan/Op Motosikal yang dijalankan di lokasi ‘hotspot’ seperti Kilometer 32–74 Jalan Teluk Intan–Klang, Pekan Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sekinchan, memeriksa 110 individu dan 100 kenderaan.

“Operasi itu mencatat 39 saman, dengan kesalahan utama termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, tiada lesen memandu, dan nombor plat tidak mengikut peraturan,” katanya.

Menurut IPD Sabak Bernam, operasi turut memberi tumpuan kepada kesalahan di bawah APJ 1987 dan LN 167/59, namun tiada tangkapan, sitaan kenderaan, ujian saringan alkohol atau kes mabuk direkodkan.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati kerana peningkatan pergerakan pada musim perayaan boleh meningkatkan risiko jenayah seperti pecah rumah, samun, dan kecurian kenderaan.

"IPD Sabak Bernam terus komited melaksanakan operasi pencegahan jenayah secara agresif untuk mencegah, mengesan dan membanteras jenayah, termasuk kekerasan, harta benda, penyalahgunaan dadah serta mengesan individu dikehendaki, demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat," tegasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619