Aidilfitri: Penduduk di Sungai Golok disaran guna laluan sah - Polis

21 Mac 2026, 1:15 PM
Aidilfitri: Penduduk di Sungai Golok disaran guna laluan sah - Polis

KOTA BHARU, 21 MAC: Polis menasihatkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand supaya menggunakan laluan sah sekiranya ingin menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya mengambil serius perkara itu kerana wujud kemungkinan peningkatan pergerakan rentas sempadan secara tidak sah, lebih-lebih lagi dengan paras air Sungai Golok yang kini semakin cetek.

“Keadaan sungai yang cetek ini boleh membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk menyeberang secara haram, terutama ketika musim perayaan. Saya menggesa orang ramai supaya tidak melanggar undang-undang dan sentiasa menggunakan laluan sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata tumpuan penguatkuasaan dan pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan panas yang sering menjadi laluan penduduk tempatan dan rakyat Thailand untuk menyeberang secara haram.

“Orang ramai diingatkan supaya menggunakan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang sah seperti di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang, Bakri Sulaiman, berkata kira-kira 50,000 pengembara dijangka menggunakan Kompleks ICQS Rantau Panjang dalam tempoh tiga hari sebelum dan tiga hari selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya jumlah ini merangkumi pergerakan keluar masuk antara kedua-dua negara sepanjang tempoh perayaan berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619