Trump ancam musnahkan loji tenaga Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka dalam 48 jam

22 Mac 2026, 7:52 AM
Trump ancam musnahkan loji tenaga Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka dalam 48 jam

ISTANBUL, 22 MAC Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu mengancam untuk “memusnahkan” loji tenaga Iran, bermula dengan yang terbesar, sekiranya Tehran tidak membuka Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam.

“Jika Iran tidak membuka sepenuhnya, tanpa ancaman, Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam dari sekarang, AS akan menyerang dan memusnahkan pelbagai loji tenaga mereka, bermula dengan yang terbesar,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social, menurut Anadolu Ajansi.

Beliau membuat kenyataan itu pada 7.44 malam waktu Timur AS, yang bermakna tarikh akhir yang diberikan adalah sehingga lewat Isnin.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan loji mana yang dimaksudkan sebagai yang terbesar.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Jumaat bahawa Iran tidak akan bertolak ansur jika infrastrukturnya diserang.

Trump sebelum ini memberitahu PBS bahawa beliau sengaja tidak menyasarkan loji tenaga di Tehran kerana tindakan itu boleh menyebabkan kerosakan berpanjangan dan “trauma” kepada penduduk awam. Ugutan terbaharu itu dilihat sebagai peningkatan ketara dalam retoriknya.

Selat Hormuz dilaporkan telah mengalami gangguan sejak awal Mac, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak. Kira-kira 20 juta tong minyak melalui laluan itu setiap hari, menjadikannya antara laluan tenaga paling penting di dunia.

Serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb dan telah berkembang menjadi konflik serantau yang lebih luas.

-- BERNAMA-ANADOLU

TAG: Amerika Syarikat, Donald Trump, Iran, Selat Hormuz, ugutan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619