Kes kebakaran Ramadan naik 172, mercun dan cuaca panas antara punca

22 Mac 2026, 4:33 AM
Kes kebakaran Ramadan naik 172, mercun dan cuaca panas antara punca

SHAH ALAM, 22 MAC: Jumlah panggilan kebakaran sepanjang bulan puasa meningkat kepada 172 kes berbanding 106 kes pada bulan sebelumnya, termasuk melibatkan insiden berpunca daripada mercun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata kebanyakan kes melibatkan kebakaran terbuka serta kejadian di bangunan dan premis.

“Berbanding bulan biasa, jumlah kes meningkat sepanjang Ramadan, antaranya disebabkan faktor cuaca panas yang mencetuskan kebakaran belukar. Pertengahan Ramadan lalu, kebakaran turut dilaporkan di Hutan Simpan Kuala Langat.

“Siasatan juga mendapati kebakaran bangunan berpunca daripada mercun, namun kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Wan Md Razali berkata pihaknya akan mengoperasikan lapan jentera Fire Rescue Tender (FRT) baharu bagi memperkukuh operasi penyelamatan, khususnya melibatkan kemalangan sepanjang musim perayaan ini.

“Kita bersiap siaga sepenuhnya dengan 80 peratus anggota daripada 38 balai bertugas sepanjang musim perayaan. Penambahan lapan jentera baharu ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan, terutama dalam operasi menyelamat mangsa kemalangan,” katanya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan hanya 20 peratus anggota bomba di Selangor dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri, manakala selebihnya akan terus bertugas bagi memastikan tahap kesiapsiagaan jabatan kekal optimum.

Menurutnya anggota di balai bomba turut dibenarkan mengambil cuti secara bergilir bagi memastikan operasi kecemasan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya berlaku sebarang insiden.

Selain itu, 38 balai bomba di negeri ini akan beroperasi dan bersiap siaga selama 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619