Kebakaran lereng bukit di Puncak Jalil berjaya dipadam sepenuhnya

12 Mac 2026, 4:17 AM
Kebakaran lereng bukit di Puncak Jalil berjaya dipadam sepenuhnya

SHAH ALAM, 12 MAC: Kebakaran di lereng bukit Puncak Jalil dekat Seri Kembangan yang menjejaskan kawasan seluas kira-kira 37 hektar berjaya dipadam sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan, Nik Mohd Dzarrin Ghifari Azmy berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.12 petang semalam.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.21 petang untuk memulakan operasi pemadaman.

“Pada peringkat awal, kebakaran dianggarkan melibatkan kawasan seluas antara tiga hingga lima hektar.

“Namun selepas operasi pemadaman selesai sepenuhnya awal pagi tadi, keluasan kawasan terjejas dianggarkan mencecah kira-kira 37 hektar,” katanya kepada Media Selangor.

Operasi pemadaman berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.48 pagi tadi. Foto ihsan Bomba

Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Cyberjaya, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Secara keseluruhan, operasi melibatkan kira-kira 40 anggota bomba termasuk empat pegawai daripada Zon Petaling Jaya, JBPM Selangor,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman berdepan cabaran berikutan keadaan kawasan yang berbukit dan curam selain faktor angin yang mempercepatkan penyebaran api.

Katanya, pihak bomba turut menggunakan unit dron dari Ibu Pejabat JBPM Selangor bagi memantau kawasan sukar diakses serta mengesan lokasi berpotensi berlaku kebakaran semula.

“Operasi pemadaman berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.48 pagi, manakala pemantauan susulan diteruskan pada 9 pagi tadi bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Setakat ini tiada laporan diterima mengenai mangsa, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619