KUALA LUMPUR, 21 MAC: Tradisi rumah terbuka Aidilfitri terus menyemai semangat muhibah dengan sambutan di beberapa negeri berlangsung meriah.
Di SARAWAK, orang ramai membanjiri pekarangan Astana Negeri, Kuching bermula 9 pagi bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat, usia, kaum dan agama disajikan dengan aneka juadah selain mengambil peluang untuk beramah mesra dengan pemimpin negeri.
Di JOHOR, rakyat pelbagai kaum mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana, Johor Bahru seawal 8 pagi.

Orang ramai dijamu dengan pelbagai juadah tradisional dan moden termasuk ketupat, lemang, rendang, soto dan mi rebus selain kuih-muih dan pelbagai minuman.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani berangkat ke Majlis Istana Terbuka Aidilfitri di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan Exco kerajaan negeri.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional selain pengunjung turut mengambil peluang merakam kenangan di pekarangan istana.








