ADN

Kebakaran Putra Heights: Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sepang dibatalkan

7 Apr 2025, 8:39 AM
Kebakaran Putra Heights: Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sepang dibatalkan

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Majlis Rumah Terbuka Parlimen Sepang KASIH D’Aidilfitri yang dijadualkan 19 April (Sabtu) dibatalkan, kata Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata ini sebagai tanda solidariti dan penghormatan kepada mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights.

Dalam pada itu, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyambut baik perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang sebagai antara penempatan sementara di rumah Smart Sewa dengan subsidi kerajaan negeri kepada 116 keluarga yang terbabit dalam insiden itu.

“Saya bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang dengan semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan mengalu-alukan 116 keluarga itu dan siap sedia membantu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebagai langkah awal, beliau berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang akan menyediakan 232 tilam untuk diagihkan kepada mangsa terbabit yang dijadual berpindah masuk ke premis berkenaan mulai minggu ini.

Kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, menyebabkan bomba terpaksa mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran itu sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619