Istiqamah selepas Ramadan: Terus amalkan ibadah, tinggalkan tabiat lama

20 Mac 2026, 6:31 AM
Istiqamah selepas Ramadan: Terus amalkan ibadah, tinggalkan tabiat lama
Istiqamah selepas Ramadan: Terus amalkan ibadah, tinggalkan tabiat lama
Istiqamah selepas Ramadan: Terus amalkan ibadah, tinggalkan tabiat lama

SHAH ALAM, 20 MAC: Mimbar Jumaat mengingatkan umat Islam agar terus istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT selepas berakhirnya Ramadan dengan memelihara hati, lidah serta seluruh anggota daripada perbuatan dosa.

Perkara itu ditegaskan menerusi khutbah keluaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertajuk “Istiqamah Pasca Ramadan” yang disampaikan di masjid seluruh Selangor hari ini.

Khutbah itu menjelaskan, ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, sebaliknya merangkumi penjagaan seluruh anggota daripada melakukan perkara dilarang Allah SWT termasuk menjaga lisan, pandangan dan hati.

"Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din membahagikan puasa kepada tiga peringkat dengan tahap tertinggi ialah puasa khusus al-khusus, iaitu menahan hati dan fikiran daripada perkara keduniaan serta menumpukan sepenuhnya kepada Allah SWT," menurut khutbah tersebut.

Khutbah itu juga menegaskan hati yang sentiasa bertaut dengan Allah SWT akan mendorong seseorang terus taat kepada perintah-Nya dan menjauhi larangan, malah ketaatan tersebut tidak terhenti selepas Ramadan, sebaliknya berterusan sepanjang hayat.

"Hakikatnya, kegagalan untuk istiqamah sering berlaku apabila Ramadan hanya dianggap sebagai musim ibadah, bukan sebagai madrasah pembentukan takwa yang berterusan.

"Istiqamah selepas Ramadan menuntut agar seluruh anggota dipelihara daripada dosa. Hati sentiasa hidup dengan zikrullah, lidah dijaga daripada percakapan sia-sia, dusta dan mengumpat, manakala seluruh anggota badan dipelihara daripada perbuatan haram serta berhati-hati daripada perkara yang syubhah.

"Sesungguhnya kehidupan seorang Muslim selepas Ramadhan menuntut istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Apakah maknanya kita menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadan jika selepasnya kita kembali kepada tabiat lama tanpa mempedulikan dosa dan pahala?" jelas teks khutbah itu.

Sehubungan itu, khutbah berkenaan turut menggesa umat Islam mengekalkan sifat sabar yang telah dipupuk sepanjang Ramadan dalam menghadapi kehidupan yang penuh ujian dan cabaran.

"Kita hendaklah meneruskan sifat sabar yang telah ditarbiah sepanjang Ramadan untuk menghadapi kehidupan dunia yang hakikatnya merupakan medan ujian, penuh dengan pelbagai cabaran, dugaan dan godaan.

"Kita hendaklah mengekalkan momentum ibadah agar tidak terhenti selepas Ramadan, bahkan berterusan sepanjang tahun dengan memelihara segala kewajipan dan memperbanyakkan amalan sunat sebagai tanda ketakwaan kepada-Nya," ujar teks khutbah itu lagi.

Selain itu, umat Islam turut diseru meninggalkan segala sikap dan tabiat lama yang tidak baik selepas sebulan bermujahadah dalam Ramadan.

"Kita hendaklah istiqamah dengan meninggalkan segala sikap dan tabiat lama yang tidak soleh, setelah kita bermujahadah sepanjang Ramadan untuk menjadi hamba yang lebih taat kepada Allah SWT.

"Surah Fussilat ayat 30 menjelaskan sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di jalan yang benar, para malaikat akan turun kepada mereka dengan memberi ilham, ‘Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu bersedih. Terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu," kata teks khutbah berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619