Indeks kebahagiaan Malaysia meningkat kepada 81 peratus - IPSOS

19 Mac 2026, 5:51 AM
Indeks kebahagiaan Malaysia meningkat kepada 81 peratus - IPSOS

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Indeks Kebahagiaan Malaysia meningkat kepada 81 peratus pada tahun ini berbanding 76 peratus pada tahun lepas, sekali gus mencerminkan kepositifan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat di sebalik ketidaktentuan global.

Menurut kajian terkini oleh Ipsos, peningkatan lima peratus itu meletakkan Malaysia dalam kalangan pasaran yang lebih bahagia di seluruh dunia, yang didorong terutamanya oleh kekukuhan ikatan sosial dan rasa dihargai dalam komuniti tempatan.

Pengarah urusan Ipsos Malaysia Arun Menon berkata rakyat Malaysia terus menunjukkan tahap kebahagiaan yang tinggi, dengan hubungan sosial yang lebih baik muncul sebagai penyumbang paling signifikan kepada kesejahteraan secara keseluruhan.

“Rasa dihargai dan disayangi muncul sebagai pemangkin kebahagiaan paling kuat, diikuti oleh hubungan dengan keluarga dan anak-anak, menekankan peranan penting komuniti dan semangat kekitaan dalam membentuk kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kajian itu juga mendapati bahawa kebimbangan kewangan peribadi kekal sebagai penyumbang ketara ketidakbahagiaan, sama ada pada peringkat global mahupun di Malaysia, dengan isiu perumahan atau keadaan tempat tinggal serta masalah berkaitan pekerjaan antara faktor tekanan utama, dalam konteks tempatan.

Sementara itu, tahap pendapatan lebih tinggi dikaitkan dengan perasaan lebih bahagia, dengan 87 peratus rakyat berpendapatan tinggi melaporkan tahap kepuasaan lebih tinggi berbanding mereka yang dalam kalangan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

Menon berkata walaupun tekanan kewangan memberikan kesan kepada kebahagiaan secara keseluruhan, namun rangkaian sosial yang kukuh dan saling membantu dalam kalangan rakyat kekal menjadi sumber ketahanan paling penting.

“Penemuan ini mencadangkan bahawa walaupun rakyat Malaysia berkongsi kebimbangan global mengenai kewangan peribadi, hubungan sosial yang kukuh dan sokongan orang sekeliling tetap menjadi tonggak utama kesejahteraan,” katanya.

Tinjauan Indeks Kebahagiaan Ipsos 2026 dijalankan antara 24 Dis 2025 dan 9 Jan 2026, melibatkan sampel representatif sebanyak 501 orang dewasa di Malaysia, yang berumur 18 hingga 74 tahun sebagai sebahagian daripada kajian global, merangkumi lebih 23,000 responden.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619