AGENDA

Tujuh daripada 10 rakyat Malaysia yakin hala tuju negara di landasan betul

6 Nov 2024, 3:57 PM
Tujuh daripada 10 rakyat Malaysia yakin hala tuju negara di landasan betul

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Semakin ramai rakyat optimis dan yakin terhadap hala tuju Malaysia ketika ini dengan tujuh daripada 10 orang percaya bahawa negara berada di landasan betul, demikian menurut kaji selidik Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).

Menurut laporan Ipsos bertajuk Apa Yang Merisaukan Rakyat Malaysia?, sebanyak 71 peratus kumpulan berusia lingkungan 16 hingga 74 tahun berpendapat negara kini menuju ke arah yang betul dan sentimen itu meningkat 19 peratus berbanding tempoh sama pada Oktober tahun lepas.

Tinjauan Ipsos turut melaporkan bahawa 72 peratus rakyat Malaysia positif mengenai kedudukan ekonomi semasa berbanding tempoh sama pada Oktober 2023 berdasarkan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menstabilkan ekonomi dan menangani tekanan kos sara hidup.

Ini menyaksikan sentimen ekonomi Malaysia semakin berkembang positif dengan ketara sebanyak 33 peratus sejak setahun lepas.

Selain itu, tinjauan berkenaan menunjukkan peningkatan 12 peratus dalam aspek Keyakinan Pengguna Malaysia bagi tempoh sama.

Menerusi graf Keyakinan Pengguna itu, meskipun terdapat beberapa penurunan pada Mac dan September tahun ini hingga 50 peratus, indeks bagi Oktober meningkat kepada 58 peratus sekali gus menyaksikan Malaysia mengatasi purata global yang kekal pada 49 peratus bagi tempoh sama.

Tinjauan Ipsos turut memperlihatkan isu rasuah politik dan kewangan kekal menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia iaitu 47 peratus diikuti masalah pengangguran (34) dan soal kemiskinan ketidaksamaan sosial (21) sepanjang tempoh setahun itu.

Kebimbangan rakyat Malaysia terhadap inflasi juga menurun hingga 25 peratus pada Oktober iaitu penurunan 21 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Namun begitu, satu-satunya kebimbangan yang semakin meningkat ialah mengenai jenayah dan keganasan yang diukur pada 29 peratus Oktober tahun ini, meningkat 14 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Urusan Ipsos Malaysia Evelyn Tan berkata di sebalik perkembangan positif ini, rakyat kekal khuatir tentang isu rasuah di samping kerisauan mengenai jenayah dan kekerasan juga meningkat secara mendadak.

"Walaupun rakyat Malaysia semakin yakin dengan masa depan ekonomi mereka, orang ramai perlu diyakinkan bahawa masyarakat pada umumnya bebas daripada rasuah dan jenayah.

"Hal ini penting bagi mengekalkan tahap keyakinan jangka panjang terhadap hala tuju ekonomi negara," menurutnya dalam kenyataan yang mengiringi laporan tinjauan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619