SUBANG JAYA, 16 MAC: Isu kesesakan lalu lintas dan naik taraf infrastruktur sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menjadi tumpuan untuk diselesaikan tahun ini.
Wakil rakyatnya, Abbas Salimi Azmi berkata, kawasan paling kritikal ialah di Taman Equine, yang mencatatkan jumlah aduan tertinggi daripada penduduk berhubung kesesakan trafik.
“Bagi menangani isu ini, Majlis Bandaraya Subang Jaya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor telah meluluskan peruntukan RM22 juta untuk membina ‘missing link’ di kawasan Equine.
“Jun akan datang, konsultan dilantik untuk menyediakan reka bentuk projek. Ia dijangka mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang berlarutan hampir 20 tahun di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serahan Baucar Jom Shopping Aidilfitri di Pasar Raya NSK 3 Elements, Seri Kembangan, semalam.
Tambahnya, usaha turut difokuskan kepada menguraikan aliran trafik di Persiaran Arif, khususnya di kawasan hadapan pusat beli-belah Giant Hypermarket Seri Kembangan.
“JKR Selangor telah meluluskan peruntukan kira-kira RM300 juta bagi pembinaan dua jejambat (flyover) di lokasi berkenaan bagi mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku.
“Saya juga telah berhubung dengan pihak berkaitan untuk diberikan perhatian kepada penyelesaian isu kesesakan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), namun masih belum ada penyelesaian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abbas memberitahu usaha menaik taraf kemudahan sukan ini bukan sahaja menyokong penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, malah memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat yang boleh menggunakan fasiliti tersebut selepas temasya berakhir.
“Gelanggang badminton Dewan MBSJ di Kampung Sri Aman akan dinaik taraf untuk dijadikan gelanggang sukan pickleball.
“Dewan Seri Serdang pula akan digunakan sebagai venue bagi acara silambam dan kabaddi untuk SUKMA,” ujarnya.










