SELAYANG, 13 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer memperuntuk RM50,000 bagi menaik taraf surau dan menyelenggara pagar Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang.
Wakil rakyatnya Anfaal Saari berkata antara penambahbaikan utama melibatkan penyusunan semula ruang solat wanita di Surau Hidayatul Quran balai itu, sekaligus meningkatkan keselesaan anggota dan keluarga yang menetap di kuarters balai bomba itu.
“Buat masa ini, ruang muslimatnya selari atau bersebelahan dengan saf lelaki. Jadi atas nasihat Pejabat Agama Islam daerah Gombak, ia perlu dipindahkan ke bahagian belakang supaya ia tidak selari dengan barisan imam. Dengan perpindahan itu akses kepada tempat wuduk dan tandas juga perlu ditambahbaik.
“Selain itu, pagar untuk keluar dan masuk yang sudah agak lama perlu diperbaiki. Harapnya dengan penambahbaikan kemudahan itu, akan memudahkan akses keluar masuk,” katanya ditemui pada Majlis Iftar bersama warga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang hari ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata balai berkenaan sudah berusia hampir 30 tahun dan beberapa kemudahan memerlukan penyelenggaraan.
“Jutaan terima kasih atas keprihatinan dan perhatian YB Anfaal kerana balai ini hampir mencecah 30 tahun sebenarnya. Jadi seperti sedia maklum, kalau sudah berusia banyak kemudahan yang perlu diselenggara dengan kos yang sangat tinggi.
“Kami amat rasa lega dengan peruntukan yang kerana paling penting sekali keadaan surwu itu kita mesti mematuhi syarat-syarat ataupun hukum-hukum yang sebenar-benarnya dengan peraturan yang teratur dan sesuai,” katanya.











