AGENDA

JBPM kaji keperluan balai bomba di laluan JRTB

17 Jun 2025, 3:46 PM
JBPM kaji keperluan balai bomba di laluan JRTB

ALOR SETAR, 17 JUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji keperluan menubuhkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu di sepanjang laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), bagi mempercepatkan tindak balas dalam situasi kecemasan, khususnya kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata ketika ini BBP Gerik dan BBP Baling merupakan balai terdekat yang bertindak jika berlaku sebarang kecemasan di sepanjang laluan tersebut.

“Dalam kejadian kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk tiba di lokasi dari BBP Gerik, iaitu yang paling hampir dengan tempat kejadian, dengan bantuan BBP Baling.

“Tiada balai bomba lain yang berdekatan. Berdasarkan insiden itu, JBPM kini sedang meneliti cadangan penubuhan BBP baharu di laluan tersebut. Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan kewangan kerajaan untuk merealisasikannya,” katanya selepas merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) JBPM Kedah di sini hari ini.

Ahmad Izram berkata penubuhan balai baharu turut melibatkan kajian dan analisis terhadap tahap risiko dan bahaya sesuatu kawasan.

“Kita bukan sahaja mengambil kira risiko kemalangan, malah aspek kebakaran juga diberi perhatian,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dinaiki mereka dari Jertih untuk pulang ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, menyebabkan bas itu terbalik.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619