SHAH ALAM, 11 Mac: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan memperluas jejak serantaunya menerusi penganjuran edisi sulung SIBS@ASEAN di Bandung, yang dijadual berlangsung pada 9 dan 10 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata bandar di Jawa Barat, Indonesia itu dipilih sebagai tuan rumah kerana profil ekonominya hampir menyerupai peranan Selangor sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia.
“Profil ekonomi kedua-duanya lebih kurang sama. Jawa Barat merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Indonesia, manakala Selangor ialah penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia,” katanya kepada media selepas Forum Panel SIBS Direction Outlook 2026 dan majlis berbuka puasa di Hotel Concorde, semalam.
Hasan berkata sidang kemuncak di Bandung itu merupakan sebahagian daripada inisiatif serantau baharu SIBS@ASEAN yang bertujuan mengangkat SIBS sebagai platform perniagaan rentas sempadan, seiring perubahan rantaian bekalan di Asia Tenggara.
“SIBS@ASEAN menandakan lembaran baharu buat kami. Ketika rantaian bekalan serantau disusun semula, Selangor meletakkan dirinya sebagai penghubung serantau,” katanya ketika forum tersebut.
Sidang kemuncak serantau itu akan menampilkan beberapa sektor utama termasuk automotif, aeroangkasa, pelancongan perubatan dan pendidikan, memandangkan Indonesia merupakan pasaran penting bagi perniagaan berpangkalan di Selangor.

Hasan berkata kira-kira 50 syarikat berpangkalan di Selangor dijangka menyertai edisi Bandung tersebut.
“Sektor yang akan kami bawa termasuk industri automotif dan aeroangkasa, manakala pameran turut menampilkan bidang seperti pelancongan perubatan dan pendidikan.
“Kita mempunyai banyak institusi pengajian tinggi yang terbuka kepada pelajar antarabangsa, dan kita melihat Indonesia sebagai pasaran yang besar,” katanya sambil menambah Selangor juga mempunyai ekosistem penjagaan kesihatan yang kukuh untuk menarik pengunjung serantau.
“Walaupun Melaka dan Pulau Pinang sangat aktif dalam pelancongan perubatan, Selangor juga mempunyai banyak pusat perubatan yang cemerlang, termasuk di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, sidang kemuncak perdagangan tahunan SIBS 2026 dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bersempena ulang tahun ke-10 acara pelaburan utama negeri itu.
Edisi akan datang turut memperkenalkan tiga sidang kemuncak baharu iaitu Selangor Techsphere Summit, Selangor AI and Semiconductor Summit dan Selangor International Care Expo, selain program sedia ada seperti Selangor ASEAN Business Conference dan Selangor Investment and Industrial Park Expo.
Selain itu, ia turut merangkumi Selangor Investment Forum yang memberi tumpuan kepada industri utama, serta Selangor Career Outreach Talent Expo yang dianjurkan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu merapatkan jurang bakat berkaitan pelaburan baharu di negeri ini.









