SHAH ALAM, 11 Mac: Kejayaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah pengunjung atau nilai transaksi, sebaliknya melalui keupayaannya membina ekosistem perniagaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han.
Kerajaan negeri melihat sidang kemuncak itu sebagai platform untuk memperkukuh daya tahan ekonomi serta memperluas peluang kepada syarikat tempatan.
“Bagi kerajaan Selangor, kejayaan SIBS bukan diukur hanya melalui jumlah pengunjung atau nilai potensi transaksi.
“Yang lebih penting ialah kita dapat mewujudkan ekosistem yang lebih berdaya tahan, dan itulah objektif utama penganjuran SIBS,” katanya kepada media selepas Forum Panel SIBS Direction Outlook 2026 dan majlis berbuka puasa di Hotel Concorde, semalam.

Tanpa menyatakan sasaran tahun ini, Ng berkata Selangor menyasarkan untuk mengatasi nilai potensi transaksi tahun lalu sebanyak RM8.17 bilion, dengan sasaran 50,000 pengunjung serta 850 gerai pameran.
Edisi sebelum ini merekodkan kira-kira 62,025 pengunjung, mencerminkan pertumbuhan berterusan acara tersebut.
Sementara itu, peranan Invest Selangor Bhd tidak terhad kepada menarik pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini.
“Peranan Invest Selangor bukan sahaja membawa pelaburan berimpak tinggi ke Selangor, tetapi juga membantu syarikat yang bersedia, khususnya yang berpangkalan di Selangor, untuk meneroka pasaran lebih luas di ASEAN,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memperluas jangkauan sidang kemuncak berkenaan menerusi SIBS@ASEAN, inisiatif baharu yang bertujuan mengukuhkan hubungan perniagaan serantau serta memberi akses lebih luas kepada syarikat Selangor ke pasaran Asia Tenggara.
Sejak dilancarkan pada 2015 sebagai acara perdagangan tahunan Selangor, SIBS berkembang pesat dengan jumlah pengunjung meningkat daripada 4,316 pada tahun pertama kepada kemuncak 57,249 pada 2023, manakala nilai potensi transaksi mencecah rekod RM13.85 bilion pada 2024.
Sehingga kini, SIBS menjana nilai potensi transaksi terkumpul sebanyak RM30.56 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.









