Malaysia Airlines tambah penerbangan ke London, Paris bantu penumpang terjejas

6 Mac 2026, 2:35 AM
Malaysia Airlines tambah penerbangan ke London, Paris bantu penumpang terjejas

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Malaysia Airlines kini melaksanakan penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur– Lapangan Terbang Heathrow London dan Kuala Lumpur–Paris Charles de Gaulle dari 6 hingga 8 Mac 2026 untuk membantu kalangan penumpang yang terjejas susulan gangguan berterusan dalam rangkaian perjalanan global.

Dalam kenyataan hari ini, penerbangan nasional itu turut memaklumkan telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi memberi keyakinan lebih ketara dan berterusan untuk penumpang.

“Menerusi tindakan melaksanakan penambahan kapasiti pesawat badan lebar bagi laluan antara Asia dan Eropah, Malaysia Airlines berhasrat membantu menyatukan semula keluarga selain menyokong perjalanan berikutnya.

“Perkhidmatan ini akan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang teliti bagi mengelak kawasan terjejas dan keselamatan kekal menjadi keutamaan,” menurutnya.

Pada masa sama, Malaysia Airlines akan mengendalikan perkhidmatan harian seperti biasa selain penerbangan tambahan dengan menggunakan pesawat A350-900 syarikat berkenaan.

Di samping penerbangan tambahan itu, Malaysia Airlines turut bekerjasama erat dengan syarikat penerbangan sekutu di serata Eropah, Asia dan melangkaui kawasan itu dalam usaha memberi kemudahan penerbangan sambungan untuk penumpang yang terjejas akibat gangguan di bahagian lain rangkaian terbabit.

Malaysia Airlines juga menyatakan komitmen untuk terus memantau secara teliti perkembangan yang berlaku serta bersedia melakukan pelarasan kapasiti penerbangan mengikut keperluan bagi mengekalkan kesalinghubungan diyakini di seluruh rangkaian global kendalian syarikat itu.

“Inisiatif ini jelas memaparkan komitmen berterusan syarikat penerbangan ini dalam memainkan peranan sebagai penghubung dipercayai antara benua sambil menyediakan perkhidmatan boleh diharapkan serta layanan dengan hospitaliti Malaysia menjadi identiti sebagaimana dijangkakan penumpang di serata dunia.

“Kalangan pengembara boleh membuat tempahan penerbangan menerusi laman sesawang rasmi Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com atau aplikasi rasmi syarikat penerbangan ini,” menurutnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619