Lebih 350,000 permohonan usia enam tahun masuk Tahun 1 direkodkan

3 Mac 2026, 12:57 PM
Lebih 350,000 permohonan usia enam tahun masuk Tahun 1 direkodkan

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Permohonan kemasukan tahun satu pada usia enam tahun menerima sambutan positif daripada ibu bapa, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Kah Woh berkata, berdasarkan data setakat semalam, sebanyak 351,789 permohonan bagi sesi 2027 direkodkan, termasuk 51,457 kanak-kanak berumur lima tahun (5+).

“Hal ini menggambarkan keyakinan ibu bapa terhadap kesediaan anak-anak serta keluasan sistem yang diperkenalkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Negara hari ini.

Sehubungan dengan itu, bagi menyokong pelaksanaan kemasukan berkenaan, beliau berkata kerajaan akan mempertingkatkan akses pendidikan prasekolah melalui perluasan kemudahan di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Pada masa ini, terdapat 10,514 kelas prasekolah di 6,469 institusi dan kerajaan merancang menambah 150 kelas baharu pada 2025 serta 350 lagi pada 2026, menjadikan kapasiti keseluruhan prasekolah kerajaan sebanyak 256,894 tempat dengan enrolmen semasa 217,041 murid,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying ketika penggulungan bagi kementeriannya berkata sebanyak 10,651 peserta mendapat manfaat daripada 70 program pemerkasaan ekonomi wanita yang dilaksanakan sejak Januari tahun ini.

Beliau berkata, pada tahun lepas, sebanyak 824 program dilaksanakan melibatkan 31,025 peserta dari seluruh negara, antaranya program utama Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan yang bertujuan membimbing wanita untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus serta mengembangkan perniagaan.

“Sejak dilaksanakan dari 2022 hingga 2025, sebanyak 1,158 peserta telah dilatih dengan purata peningkatan pendapatan bulanan antara RM1,000 hingga RM1,500,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619