MyRMK disasar bermula suku ketiga tahun ini, rakyat boleh pantau RMK13

2 Mac 2026, 4:15 AM
MyRMK disasar bermula suku ketiga tahun ini, rakyat boleh pantau RMK13

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kementerian Ekonomi menyasarkan sistem MyRMK dilaksanakan bermula suku ketiga tahun ini yang membolehkan pemantauan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dibuat secara menyeluruh, kata Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata ini termasuk akses pelaporan kepada rakyat melalui papan pemuka dalam talian.

Katanya melalui MyRMK, pemantauan bukan sahaja tertumpu pada pelaksanaan projek semata-mata, malah merangkumi keseluruhan strategi dan objektif yang digariskan dalam RMK13.

“Dari sudut pelaksanaan projek, pemantauan dibuat melalui sistem MyProject di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“MyRMK pula akan dijajarkan dengan objektif strategik dalam RMK13. Sekiranya berlaku kelewatan projek, ia akan memberi kesan langsung kepada pencapaian sasaran yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud-PH) mengenai kaedah pemantauan projek dan langkah rakyat, bukan sahaja kerajaan dapat melihat kemajuan sebenar projek melalui MyRMK.

Katanya kementerian berhasrat pelaporan kemajuan dapat diterbitkan secara berkala menerusi papan pemuka di laman sesawang RMK13.

Beliau berkata ini membolehkan rakyat melihat perkembangan sebenar pencapaian strategi yang ditetapkan sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya.

Katanya MyRMK bukan sekadar sistem pelaporan projek, malah berfungsi pada skala makro bagi menjejak keseluruhan pelaksanaan dasar dan inisiatif di bawah RMK13 termasuk melibatkan penggubalan dan pelaksanaan akta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619