PM turun padang dengar cadangan negeri dalam RMK13, Belanjawan 2026

28 Ogos 2025, 4:53 AM
PM turun padang dengar cadangan negeri dalam RMK13, Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI mengambil kira keperluan pembangunan dicadangkan oleh kerajaan negeri bagi mempersiapkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan persekutuan melakukan pendekatan mengadakan siri perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mendengar dan menilai cadangan yang dikemukakan.

“Bagi mempersiapkan RMK13 dan belanjawan, saya turun ke negeri-negeri, ‘Anwar Turun’, tetapi ke negeri untuk mendengar dan kemudian atas permintaan Menteri Besar termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, mereka cadangkan beberapa keutamaan.

“Itu kadang-kadang berbeza dengan keutamaan persekutuan dan Kementerian Kewangan, tetapi saya ubah suai dan beri jaminan, satu dua keutamaan yang negeri pilih kita akan terima dan insya-Allah saya akan umumkan dalam belanjawan Oktober ini,” kata Anwar pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang inginkan penjelasan sama ada perancangan projek pembangunan infrastruktur oleh kerajaan persekutuan hanya tertumpu kepada negeri tertentu dan meminggirkan sebahagian yang lain.

Perdana Menteri turut memberikan contoh pembangunan pusat kanser di Sarawak yang pada awalnya tiada dalam perancangan kerajaan persekutuan.

“Umpamanya kalau di Sarawak dicadangkan pusat kanser yang mulanya tiada dalam perancangan kita, tetapi Sarawak kata tidak apa, kita mulakan dengan RM1 bilion dan kerajaan persekutuan akan bayar kemudian.

“Hal-hal seperti ini kita teruskan berdasarkan keutamaan yang ditetapkan oleh negeri, sama juga yang kita buat di Johor, Kelantan dan negeri lain,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan memastikan pengagihan kemudahan asas yang lebih adil di setiap negeri termasuk pembangunan sekolah dan kemudahan lain, selain isu kesalinghubungan digital.

Perdana Menteri berkata beliau bersetuju dengan peruntukan pembangunan di desa dan wilayah yang perlu disediakan dengan jumlah yang lebih bagi mengurangkan beban jurang ekonomi antara negeri.

“Kita juga teliti, umpamanya rancangan (Malaysia) Vision Valley yang sedang meningkat cepat serta beberapa program pelancongan di sekitar Port Dickson untuk merapatkan jurang (ekonomi),” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai langkah kerajaan untuk memastikan penyaluran pelaburan yang seimbang antara bandar dengan luar bandar sekali gus mengawal penghijrahan generasi muda ke kawasan bandar.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619