MPS kenal pasti punca lambakan sampah, perkukuh kerjasama dengan KDEBWM

1 Mac 2026, 5:51 AM
MPS kenal pasti punca lambakan sampah, perkukuh kerjasama dengan KDEBWM

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperkukuh kerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi menangani isu kutipan sampah lewat dan berulang di beberapa kawasan di bawah pentadbirannya.

Yang Dipertua MPS, Shahman Jalaludin berkata pihaknya sedang mengenal pasti punca utama masalah termasuk lokasi yang sering berdepan lambakan sampah bagi memastikan penyelesaian lebih berkesan dapat dilaksanakan.

Menurutnya, peningkatan jumlah sisa pepejal susulan beberapa perayaan awal tahun ini memberi tekanan besar kepada operasi kutipan, namun usaha penambahbaikan sedang giat dijalankan.

“Walaupun kita menilai prestasi kontraktor sebagai baik dan memuaskan, kita akan terus memastikan mereka mencapai tahap cemerlang,” katanya pada mesyuarat penuh MPS di ibu pejabatnya di Bandar Baru Selayang seperti dilapor Star Metro.

Beliau turut mengakui terdapat lokasi tertentu yang berdepan isu berulang walaupun kerja pembersihan telah dijalankan.

“Kadang-kadang selepas kita bersihkan satu lokasi, pada sebelah petang sudah ada lambakan baharu,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Majlis Zon 10, Ahmad Zahiri Zahid Sofian menyifatkan situasi enam minggu lalu sebagai mencabar, dengan aduan awam meningkat berikutan jadual kutipan yang tidak konsisten.

Beliau menggesa pemantauan lebih ketat dan audit prestasi berkala terhadap KDEBWM bagi memastikan piawaian perkhidmatan dapat dikekalkan.

Sementara itu, MPS berharap jumlah aduan akan berkurangan selepas Mac apabila operasi kembali stabil.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619