Pelan pengindahan kampung tradisi Selangor dilaksana selepas Aidilfitri

20 Mac 2026, 7:02 AM
Pelan pengindahan kampung tradisi Selangor dilaksana selepas Aidilfitri
Pelan pengindahan kampung tradisi Selangor dilaksana selepas Aidilfitri
Pelan pengindahan kampung tradisi Selangor dilaksana selepas Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 MAC: Pelan pengindahan kampung tradisi di Selangor dijangka dilaksanakan selepas Aidilfitri bagi menambah baik pengurusan sisa pepejal serta meningkatkan tahap kebersihan di kawasan berkenaan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata cadangan itu telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, dan kini berada pada peringkat memuktamadkan mekanisme pelaksanaan sebelum dimulakan.

Beliau berkata antara langkah dicadangkan termasuk penambahan tong sampah di lokasi tumpuan, peningkatan kekerapan kutipan serta penubuhan pasukan khas bagi menguruskan kutipan sampah di kampung tradisi.

“Ketika ini kutipan dilaksanakan sekali sehari, namun melalui pelan ini kita bercadang menambah kekerapan bagi menangani isu lambakan sampah dengan lebih berkesan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata inisiatif tersebut dilaksanakan atas dasar tanggungjawab walaupun kebanyakan kampung tradisi tidak dikenakan cukai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Walaupun tiada cukai dikenakan di kampung tradisi, terdapat perkhidmatan tertentu yang tetap perlu diberikan termasuk kutipan sampah bagi memastikan kawasan tersebut kekal bersih dan terurus.

"Justeru, kita merangka pelan ini bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal khususnya di kawasan kampung tradisi yang dikenal pasti berdepan isu lambakan sampah serta pembuangan sampah pukal," ujar beliau.

Menurutnya, inisiatif itu melibatkan kampung tradisi di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan sistem kutipan sampah.

Beliau berkata usaha tersebut melibatkan peruntukan RM10 juta bagi menambah baik sistem kutipan serta meningkatkan tahap kebersihan di kampung tradisi di seluruh negeri.

"Bagi peringkat awal, kita akan mulakan projek rintis di beberapa kampung tradisi di Klang, Kajang, Selayang, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Langat, selain sebahagian kawasan di Kuala Selangor serta Subang Jaya.

"Ini kerana jika kita mahu melaksanakan pelan ini secara serentak di semua 275 kampung tradisi, ia memerlukan peruntukan yang lebih besar daripada RM10 juta," jelasnya.

Ramli berkata pihaknya kini sedang memuktamadkan mekanisme pelaksanaan sebelum pelan tersebut dimulakan.

"Jika semuanya berjalan lancar, pelan pengindahan kampung tradisi ini dijangka dapat dimulakan selepas Aidilfitri," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619