Laporan siasatan isu saham Azam Baki diserah minggu depan

27 Feb 2026, 9:05 AM
Laporan siasatan isu saham Azam Baki diserah minggu depan

SHAH ALAM, 27 FEB: Siasatan Jawatankuasa Khas berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hampir siap dan laporannya dijangka diserahkan kepada Jemaah Menteri minggu depan.

Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata hasil laporan itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat, termasuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

"Berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis sudah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

"Jemaah Menteri sudah bersetuju bahawa isu (pemilikan saham Azam dan salah guna institusi) ini amat serius dan mengambil maklum cadangan penubuhan RCI.

"Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan dan mempertimbang tindakan susulan, termasuk keperluan pelaksanaan RCI," katanya pada sidang media di Putrajaya seperti dilaporkan BH, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham berkenaan.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Penubuhan jawatankuasa tersebut susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media sebelum ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat berkenaan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Azam telah dipanggil memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham tersebut pada 19 Februari lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619