AGENDA

Kerajaan tubuh RCI siasat isu berbangkit Tabung Haji

14 Jul 2021, 11:01 AM
Kerajaan tubuh RCI siasat isu berbangkit Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan isu-isu berbangkit yang timbul hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

“Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, penubuhan RCI juga adalah bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam.

Ismail Sabri berkata antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Katanya, RCI juga akan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan, selain mengemukakan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan kepada kerajaan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.

Ismail Sabri berkata RCI juga akan mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Jelasnya, perincian berhubung penubuhan RCI dari segi terma dan rujukan serta keanggotaannya akan diumumkan dalam masa terdekat dan Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI dari kalangan pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619