Sumbangan kotak makanan fidyah MAIS bantu persiapan Ramadan asnaf

15 Feb 2026, 6:00 AM
Sumbangan kotak makanan fidyah MAIS bantu persiapan Ramadan asnaf
Sumbangan kotak makanan fidyah MAIS bantu persiapan Ramadan asnaf
Sumbangan kotak makanan fidyah MAIS bantu persiapan Ramadan asnaf

PETALING JAYA, 15 FEB: Menjelang ketibaan Ramadan, sumbangan kotak makanan fidyah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi kelegaan kepada golongan asnaf yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Pemandu lori, Muhammad Hafiz Mahamad Zanori, 34, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima kerana dapat membantu beliau sekeluarga membuat persiapan menjelang Ramadan.

“Alhamdulillah dengan bantuan yang ada ini, dapatlah buat persiapan untuk bulan Ramadan sebab memang belum apa pun lagi. Bantuan macam ini, dapat meringankan beban kami asnaf ini.

“Program macam ini bagus sebab dapat bantu golongan yang memang memerlukan sangat. Dengan keadaan ekonomi sekarang, barang naik, jadi itu membebankan juga. Bantuan ini dapat ringankan beban,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran agihan fidyah MAIS 2026 di sini, hari ini.

Muhammad Hafiz Mahamad Zanori, 34, antara penerima kotak makanan Fidyah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya pada 15 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi Mariam Wong Abdullah, 57, sumbangan diterima bukan sekadar bantuan biasa, sebaliknya memberi ruang untuk merancang persiapan Ramadan dengan lebih teratur dan tenang.

Beliau yang menyara kehidupan dengan berniaga rempeyek secara kecil-kecilan berkata bantuan itu amat membantu dalam menampung perbelanjaan barangan makanan.

“Saya alami masalah penglihatan kurang jelas akibat urat mata putus kerana diabetes, jadi pergerakan juga agak terhad.

“Saya juga penerima bantuan MAIS sejak 10 tahun lalu yang mana ia sangat membantu meringankan beban perbelanjaan,” katanya.

Mariam Wong Abdullah, 57, menyifatkan bantuan kotak makanan fidyah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membolehkannya merancang persiapan Ramadan dengan lebih teratur dan tenang. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

MAIS memperuntukkan RM16.71 juta agihan fidyah tahun ini bagi membantu 48,674 penerima yang layak di Selangor, dengan majlis pelancaran disempurnakan Pengerusinya, Dato’ Salehuddin Saidin di Masjid Ara Damansara di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, RM7.57 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melibatkan RM5.39 juta untuk Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), manakala RM2.18 juta lagi kepada masjid dan surau di negeri ini.

Selain itu, RM3 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan RM2.5 juta kepada institusi pengajian tinggi awam serta swasta bagi menyantuni golongan memerlukan.

Dalam majlis sama, seramai 756 asnaf fakir miskin sekitar kawasan itu menerima kotak makanan asas bernilai RM227.85 setiap seorang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619